BLOGGER TEMPLATES - TWITTER BACKGROUNDS

Ahad, 17 Julai 2011

contoh Latihan Bahagian C(1)

Contoh Latihan  1:

Tuliskan beberapa amalan baik yang kamu dapati daripada petikan di bawah.
Panjang jawapan kamu mestilah tidak kurang daripada 50 patah perkataan.
Tulis jawapan kamu dalam satu perenggan.




Hamdan bangun lewat pada pagi itu kerana dia menonton televisyen hingga larut malam. Dia tidak sempat bersarapan. Dia terus mencapai basikal untuk pergi ke sekolah tanpa bersalam dengan ibu dan bapanya. Tiba di persimpangan jalan, dia tidak menghiraukan lampu merah lalu terus memecut ke sekolah. Mujurlah tiada kenderaan ketika itu. Sesampainya di hadapan sekolah, murid-murid telah berada di tapak perhimpunan. Dia terus berlari ke tapak perhimpunan tanpa mengunci basikalnya. Sedang semua murid menyanyi lagu “Negaraku” , dia masih lagi berlari untuk masuk ke dalam barisan. Ketika hendak pulang ke rumah, dia mendapati bahawa basikalnya telah hilang. Dia telah diberi peluang tumpang oleh rakan untuk pulang ke rumah.

Isi-isi cadangan:

- Bangun lewat – Bangun awal supaya tidak tergesa-gesa ke sekolah.
- Menonton hingga lewat malam – Tidak digalakkan kerana menjejaskan
kesihatan. Tidak cukup tidur.
- Tidak sempat bersarapan - Bersarapan terlebih dahulu mendapatkan tenaga
untuk belajar.
- Tidak bersalaman – Bersalaman dengan kedua-dua ibu bapa untuk mendapat
restu.
- Melanggar lampu isyarat – Mematuhi peraturan jalan raya demi keselamatan.
- Berjalan semasa lagu “Negaraku” – Berdiri tegak untuk menghormati lagu
kebangsaan.
- Memberi pertolongan kepada yang memerlukan.


Contoh Jawapan 1:

Berdasarkan petikan di atas, kita sepatutnya bangun awal supaya tidak tergesa-gesa untuk ke sekolah seperti yang berlaku kepada Hamdan. Kita tidak sepatutnya menonton hingga lewat malam kerana boleh menjejaskan kesihatan kita. Sebelum kita ke sekolah kita hendaklah bersarapan terlebih dahulu bagi mengalas perut supaya senang belajar. Kita mestilah bersalaman dengan kedua-dua ibu bapa kita bagi mendapatkan restu daripada mereka. Kita hendaklah mematuhi peraturan demi menjaga keselamatan diri kita. Sebagai rakyat Malaysia kita hendaklah menghormati lagu kebangsaan negara kita dengan berdiri tegak bukannya seperti yang dilakukan oleh Hamdan yang masih berlari. Apabila rakan-rakan kita memerlukan bantuan, kita semestinya menghulurkan bantuan kepada mereka. Kesimpulannya kita hendaklah mengamalkan amalan-amalan yang baik dalam kehidupan harian kita.

0 komentar: