BLOGGER TEMPLATES - TWITTER BACKGROUNDS

Selasa, 19 Julai 2011

Kursus Inovasi P&P

Peserta Kursus Inovasi Bahasa Melayu Slideshow: Nor’s trip from Tawau, Sabah, Malaysia to 6 cities Perak, Sandakan, Kampung Andai (near Semporna), Kota Belud (near Ranau), Beaufort (near Kota Klias) and Kampung Bubul (near Tarakan, Borneo, Indonesia) was created by TripAdvisor. See another Indonesia slideshow. Create a free slideshow with music from your travel photos.

Kursus Inovasi Bahasa Malaysia Slideshow: Norbanun’s trip to Tawau, Sabah, Malaysia was created by TripAdvisor. See another Tawau slideshow. Create a free slideshow with music from your travel photos.

Isnin, 18 Julai 2011

Video Movie Maker Hasil Kerja Kumpulan

Ahad, 17 Julai 2011

Contoh latihan Bahagian C(3)


Contoh Latihan  3:

Buah delima pelbagai rasa,
Dipetik sebelum waktu senja;
Dari kecil hinggalah dewasa,
Ibu bapa membelai penuh manja.

- Berdasarkan puisi di atas pengajaran atau nilai murni yang boleh kita ambil
ialah ibu bapa membela anaknya dengan penuh kasih sayang

Dalam sungai dipasang bubu,
Masuk seekor anak kelisa;
Sungguh mulia jasamu ibu,
Sepanjang hayat dikenang sentiasa.

- Selain itu, kita hendaklah sentiasa mengenang jasa ibu dan bapa kerana
mereka telah banyak berjasa kepada kita


Limau kasturi jangan dilupa,
Beli juga sebungkus asam jawa;
Tidakku lupa padamu bapa,
Sanggup berkorban harta dan nyawa.

- Di samping itu juga, ibu bapa juga merupakan orang yang
bertanggungjawab dengan melakukan pelbagai pengorbanan semasa
membesarkan kita.

Kacang dicampur santan kelapa,
Nasi berulam pucuk pegaga;
Terima kasih ibu dan bapa,
Bersyukur kita hidup bahagia.

- Oleh itu, kita hendaklah berterima kasih kepada ibu bapa kita dan
bersyukur kepada Ilahi kerana mempunyai ibu bapa yang baik
- Kesimpulannya kita hendaklah sentiasa mentaati dan menghormati
kedua-dua ibu bapa kita yang telah banyak berjasa kepada kita

Contoh Jawapan 3:

Berdasarkan puisi di atas pengajaran atau nilai murni yang boleh kita ambil ialah ibu bapa membela anaknya dengan penuh kasih sayang. Selain itu, kita hendaklah sentiasa mengenang jasa ibu dan bapa kerana mereka telah banyak berjasa kepada kita. Di samping itu juga, ibu bapa juga merupakan orang yang bertanggungjawab dengan melakukan pelbagai pengorbanan semasa membesarkan kita. Oleh itu, kita hendaklah berterima kasih kepada ibu bapa kita dan bersyukur kepada Ilahi kerana mempunyai ibu bapa yang baik. Kesimpulannya kita hendaklah sentiasa mentaati dan menghormati kedua-dua ibu bapa kita yang telah banyak berjasa kepada kita.




Posted by Cikgu Andak at 2/05/2011 03:58:00 PM

Contoh Latihan Bahagian C(2)

Contoh Latihan 2:

Tulis beberapa nilai/pengajaran yang kamu boleh dapati daripada puisi di bawah. Panjang jawapan kamu mestilah tidak kurang daripada 50 patah perkataan. Tulis jawapan kamu dalam satu perenggan.

Buah delima pelbagai rasa,
Dipetik sebelum waktu senja;
Dari kecil hinggalah dewasa,
Ibu bapa membelai penuh manja.

Dalam sungai dipasang bubu,
Masuk seekor anak kelisa;
Sungguh mulia jasamu ibu,
Sepanjang hayat dikenang sentiasa.

Limau kasturi jangan dilupa,
Beli juga sebungkus asam jawa;
Tidakku lupa padamu bapa,
Sanggup berkorban harta dan nyawa.

Kacang dicampur santan kelapa,
Nasi berulam pucuk pegaga;
Terima kasih ibu dan bapa,
Bersyukur kita hidup bahagia.

Isi Cadangan:

- Membelai penuh manja (Kasih sayang)
- Sungguh mulia jasa / dikenang sentiasa (Mengenang jasa)
- Berkorban harta dan nyawa (Bertanggungjawab)
- Terima kasih ibu dan bapa (Berterima kasih)
- Bersyukur kita hidup bahagia (Kesyukuran)
- Pengajaran/kesimpulan daripada teks (Hormat-menghormati)


Contoh Jawapan 2:

Berdasarkan puisi di atas, terdapat beberapa nilai murni dan pengajaran yang boleh amalkan. Sebagai seorang anak kita hendaklah menyayangi kedua-dua ibu bapa kerana mereka telah membesarkan kita dengan penuh kasih sayang. Di samping itu, kita hendaklah mengenang jasa mereka . Sememangnya ibu bapa kita ialah orang yang amat bertanggungjawab. Oleh itu, kita hendaklah berterima kasih kepada mereka di samping bersyukur kepada Ilahi kerana mendapat ibu bapa yang baik. Kesimpulannya, untuk membalas jasa kepada kedua-dua ibu bapa, kita hendaklah sentiasa mentaati dan menghormati mereka.

contoh Latihan Bahagian C(1)

Contoh Latihan  1:

Tuliskan beberapa amalan baik yang kamu dapati daripada petikan di bawah.
Panjang jawapan kamu mestilah tidak kurang daripada 50 patah perkataan.
Tulis jawapan kamu dalam satu perenggan.




Hamdan bangun lewat pada pagi itu kerana dia menonton televisyen hingga larut malam. Dia tidak sempat bersarapan. Dia terus mencapai basikal untuk pergi ke sekolah tanpa bersalam dengan ibu dan bapanya. Tiba di persimpangan jalan, dia tidak menghiraukan lampu merah lalu terus memecut ke sekolah. Mujurlah tiada kenderaan ketika itu. Sesampainya di hadapan sekolah, murid-murid telah berada di tapak perhimpunan. Dia terus berlari ke tapak perhimpunan tanpa mengunci basikalnya. Sedang semua murid menyanyi lagu “Negaraku” , dia masih lagi berlari untuk masuk ke dalam barisan. Ketika hendak pulang ke rumah, dia mendapati bahawa basikalnya telah hilang. Dia telah diberi peluang tumpang oleh rakan untuk pulang ke rumah.

Isi-isi cadangan:

- Bangun lewat – Bangun awal supaya tidak tergesa-gesa ke sekolah.
- Menonton hingga lewat malam – Tidak digalakkan kerana menjejaskan
kesihatan. Tidak cukup tidur.
- Tidak sempat bersarapan - Bersarapan terlebih dahulu mendapatkan tenaga
untuk belajar.
- Tidak bersalaman – Bersalaman dengan kedua-dua ibu bapa untuk mendapat
restu.
- Melanggar lampu isyarat – Mematuhi peraturan jalan raya demi keselamatan.
- Berjalan semasa lagu “Negaraku” – Berdiri tegak untuk menghormati lagu
kebangsaan.
- Memberi pertolongan kepada yang memerlukan.


Contoh Jawapan 1:

Berdasarkan petikan di atas, kita sepatutnya bangun awal supaya tidak tergesa-gesa untuk ke sekolah seperti yang berlaku kepada Hamdan. Kita tidak sepatutnya menonton hingga lewat malam kerana boleh menjejaskan kesihatan kita. Sebelum kita ke sekolah kita hendaklah bersarapan terlebih dahulu bagi mengalas perut supaya senang belajar. Kita mestilah bersalaman dengan kedua-dua ibu bapa kita bagi mendapatkan restu daripada mereka. Kita hendaklah mematuhi peraturan demi menjaga keselamatan diri kita. Sebagai rakyat Malaysia kita hendaklah menghormati lagu kebangsaan negara kita dengan berdiri tegak bukannya seperti yang dilakukan oleh Hamdan yang masih berlari. Apabila rakan-rakan kita memerlukan bantuan, kita semestinya menghulurkan bantuan kepada mereka. Kesimpulannya kita hendaklah mengamalkan amalan-amalan yang baik dalam kehidupan harian kita.

TAFSIRAN NILAI MURNI (KERTAS 2 BAHAGIAN C)

BM UPSR Kertas 2 - Bahagian C ( Nilai Murni @ Pengajaran )


Tafsiran Nilai Murni:

BAIK HATI
- Belas kasihan (Bersimpati terhadap kesesusahan orang lain)
- Bertimbang rasa (Mengambil kira keperluan dan perasaan orang lain apabila
membuat sesuatu tindakan)
- Murah hati (Memberi bantuan secara ikhlas kepada mereka yang
memerlukannya)
- Saling memahami (Sanggup memberi dan menerima pandangan serta
memahami perasaan dan keperluan masing-masing)
- Saling bermaafan (Sanggup meminta maaf dan memberi kemaafan)

BERDIKARI
- Berupaya bertindak sendiri (Sanggup dan boleh melakukan sesuatu tanpa
mengharapkan orang lain)
- Yakin pada diri sendiri (Percaya kepada kebolehan diri sendiri dan sanggup
mencuba)

HEMAH TINGGI
- Kesopanan (Berbudi bahasa dan beradab dalam pergaulan)
- Mengakui kesalahan sendiri (Sedia mengaku kesilapan diri sendiri serta
sanggup menerima nasihat)
- Ramah mesra (Sedia bergaul mesra dengan semua orang)

HORMAT-MENGHORMATI
- Ibu bapa (Memuliakan dan mentaati ibu bapa)
- Ahli keluarga, orang yang lebih tua, guru, rakan, jiran tetangga dan pemimpin
(menunjukkan rasa hormat kepada kumpulan tersebut dengan memberi
layanan yang baik)
- Institusi kerajaan dan Negara (Menerima dan hormat kepada kerajaan
serta lambang-lambang kebesaran negeri)
- Kepercayaan dan adat resam pelbagai keturunan (Menghormati
kepercayaan dan adat resam semua keturunan di Malaysia)
- Patuh kepada undang-undang negara (Mematuhi undang-undang yang telah
ditentukan tanpa mengira di mana seseorang itu berada)
- Patuh kepada ketepatan masa (Menepati waktu dan menggunakan masa
dengan berfaedah)

KASIH SAYANG
- Sayang diri sendiri dan orang lain (Menyayangi diri sendiri dan orang lain)
- Sayang akan alam sekitar (Memelihara dan memulihara kehidupan flora dan
fauna untuk kesejahteraan hidup)

KEADILAN
- Adil (Membuat pertimbangan secara objektif, menyeluruh dan bersesuaian)
- Saksama (Tidak berat sebelah dalam sesuatu tindakan dan keputusan sama
ada dalam memberikan ganjaran atau hukuman)

KEBEBASAN
- Boleh melakukan sesuatu asalkan tidak melanggar batas peraturan dan
undang-undang yang tersurat dan tersirat dalam keluarga, sekolah, komuniti,
masyarakat, negara dan agama

KEBERANIAN
- Berani mencuba (Berani melakukan sesuartu perkara yang baru dan
mencabar untuk kebaikan diri sendiri dan orang lain dengan mengambil risiko
yang akan dihadapi)
- Berani kerana benar (Berani mempertahankan sesuatu yang diakui
sebenarannya dengan menunjukkan bukti yang nyata)

KEBERSIHAN FIZIKAL DAN MENTAL
- Kebersihan diri (Kebersihan anggota yang perlu dijaga oleh setiap individu
untuk hidup sihat)
- Kebersihan persekitaran (Pemeliharaan alam sekeliling supaya rapi dan
bebas daripada kekotoran dan pencemaran)
- Kebersihan mental (Pertuturan dan perlakuan yang terpuji yang perlu
diamalkan oleh seseorang dalam hubungannya dengan orang lain)

KEJUJURAN
- Amanah (Bertanggungjawab dalam melakukan sesuatu tugas yang diberikan
dan dapat menimbulkan kepercayaan dan keyakinan orang lain)
- Bercakap benar (Menyatakan perkara yang benar tanpa menokok tambah
atau berselindung)
- Ikhlas (Melakukan sesuatu dengan suci hati tanpa mengharapkan balasan)
KERAJINAN
- Daya usaha (Berusaha bersungguh-sungguh dengan inisiatif, kreatif dan
inovatif untuk menghasilkan sesuatu yang berkualiti.)
- Dedikasi (Berminat dan rela mengorbankan masa dan tenaga untuk perkara
yang berfaedah)

KERJASAMA
- Gotong-royong (Melakukan sesuatu tugas secara beramai-ramai dan
sukarela)
- Toleransi (Bertolak ansur serta dapat mengawal diri untuk mengelakkan
berlakunya perselisihan)
- Perpaduan (Bersefahaman dan bekerjasama di peringkat keluarga,
masyarakat, negara dan antarabangsa)

KESEDERHANAAN
- Pertuturan dan perlakuan yang sederhana (Bertutur dan berkelakuan yang
tidak melampaui batas serta menyinggung perasaan atau menimbulkan
kemarahan orang lain)
- Kesederhanaan dalam menimbangkan kepentingan diri dan kepentingan
orang lain (Membuat pertimbangan yang sewajarnya supaya Memuaskan diri
sendiri dan orang lain)

KESYUKURAN
- Berterima kasih (Melahirkan perasaan untuk menunjukkan pengiktirafan dan
penghargaan terhadap sesuatu jasa, sumbangan dan pemberian)

PATRIOTISME
- Semangat cintakan negara (Mempunyai semangat yang tinggi untuk menjaga
keselamatan, nama baik negara)

RASIONAL
- Membuat pertimbangan (Berupaya mengambil kira baik buruknya sesuatu
perkara sebelum membuat keputusan)

SEMANGAT BERMASYARAKAT
- Bermuafakat (Mengutamakan persetujuan dan kerjasama dalam sesuatu
pekerjaan bagi kepentingan bersama)
- Kejiranan (Berbaik-baik, bertolak ansur, tolong-menolong, dan bekerjasama
dengan jiran tetangga)
- Peka terhadap isu-isu sosial dalam masyarakat (Menyedari masalah
masyarakat dan sedia berusaha menyelesaikannya)

Posted by Cikgu Andak at 2/05/2011 03:58:00 PM